Isnin, 22 Jun 2009

Nikmat Berlari


Petikan daripada akhbar My Metro:



"DIA menggelarkan dirinya kaki bangku, malah ketika membabitkan diri dalam sukan bola jaring sewaktu di zaman persekolahan dulu pun, dia akui lebih banyak duduk di bangku simpanan."


Lantas, siapa yang tidak terkejut apabila 'si kaki bangku' berjaya menyudahkan empat maraton (tempatan dan antarabangsa) serta deretan pertandingan larian lain dengan setiap satunya memiliki jarak antara 10 hingga 21 kilometer (km).Sejak menguji keupayaan fizikal dan mental diri dalam pelbagai pertandingan selama tiga tahun ini, Hazaliza Mat Zean, 38, menyifatkan larian seolah-olah satu 'sumpahan' kerana sukar baginya kini untuk berhenti berlari.Apatah lagi, catatannya di Internet menerusi blog runningmom-haza.blogspot.com yang diwujudkan sempena aktiviti lariannya itu bukan saja mengundang ramai pengikut, malah turut mencetus inspirasi kepada ramai individu untuk berlari.


"Selepas melahirkan anak kedua pada 1999, berat badan saya meningkat sehingga mencecah 70 kilogram (kg) biarpun sebelum itu, berat saya hanya sekitar 50 hingga 55 kg.


"Doktor menyarankan saya untuk bersenam lagipun berat badan sedemikian sering membuatkan saya berasa tiada tenaga, cepat penat dan tertekan."Bukan itu saja, malu pun ada terutama bila ke kedai untuk membeli baju kerana jurujual biasanya hulurkan saya baju saiz XL," kata pensyarah Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini.


Di kawasan rekreasi Taman Rakyat, tidak jauh dari rumahnya di Andalas, Klang, dia asalnya hanya berjalan pantas di sekeliling taman."Tetapi saya rasa tidak puas berjalan, kemudian saya cuba berlari dan berjaya menghabiskan satu pusingan taman itu sejauh 1.5 km. Sejak itulah, jarak larian saya pun kian bertambah," kata ibu dua anak perempuan ini yang mula menjadikan senaman rutin hariannya sejak 2003.


Tanpa sebarang jurulatih, sekadar tunjuk ajar daripada mentor yang juga pelari daripada kelab larian di Klang, dia mula mendekatkan diri dengan pelbagai pertandingan larian termasuk di Singapura.Tidak hanya meraih pengalaman atau bertemu rakan baru, Hazaliza akui pembabitan dalam satu-satu pertandingan turut disertai rasa tanggungjawab untuk berlumba serta menyudahkan larian.


Sibuk dengan persediaan untuk menyertai maraton Standard Chartered Kuala Lumpur pada 28 Jun ini, penyertaan Hazaliza sebelum ini membabitkan maraton (sejauh 42.195 km) di Pulau Pinang dan Singapura, kedua-duanya pada 2007 manakala tahun lalu, dia menyertai maraton AmBank Kuala Lumpur dan Adidas Sundown di Singapura.Untuk satu-satu pertandingan, lazimnya dia memastikan lariannya sekitar 70 km seminggu dengan larian harian sejauh antara lapan hingga 10 km. Pada hujung minggu, jarak larian semakin jauh iaitu antara 20 hingga 30 km manakala, baru-baru ini, dia turut mencipta rekod larian sejauh 31 km tanpa henti sewaktu salah satu sesi latihannya.


Jika tidak di Klang, kawasan pilihannya untuk berlari termasuk sekitar Shah Alam atau Bukit Aman-Hartamas."Jika berlari pada jarak yang agak jauh, cabaran paling kuat tentunya mental. Adakalanya, saya tahu keadaan fizikal saya mampu untuk berlari lebih jauh lagi, tetapi dari segi mental, asyik terfikir mahu berhenti."Justeru, untuk berlari pada jarak yang jauh, saya fikir lebih mudah berteman kerana masing-masing akan memberikan motivasi pada rakan yang berlari," katanya.


Anak sulungnya, Aisyah Naquiah Mohd Shamsul, 14, pernah menyertai pertandingan larian lima kilometer tahun lalu, tetapi dia tidak fikir buat masa ini, Aisyah Naquiah mahupun adiknya, Iman Khairiah, 10, serta suaminya yang lebih cenderung pada renang, bakal menuruti minatnya itu.Apapun, blog larian yang mula mencuri hati pengikutnya sejak 2006 itu sehingga kini sudah mencecah lebih 77,000 hit.


Lebih memberangsangkan, ia bukan sekadar menjadi rujukan pelari, tetapi turut menyuntik motivasi untuk sesetengah individu yang mahu mencuba untuk berlari."Tidak pernah terlintas di fikiran, catatan dalam blog saya itu ramai pula pembacanya. Mula-mula dulu saya cuma mahu mencatatkan masa larian, tetapi jika ia mampu memberi inspirasi pada orang lain, tentunya saya cukup gembira," katanya.


Jika maraton Standard Chartered di Singapura pada 2007 dianggap maraton paling digemari namun kenangan maraton Adidas Sundown bermula jam 12 tengah malam yang juga berlangsung di Singapura, dirasakan paling mencabar."Selepas jarak 36 km, saya betul-betul rasa seperti tidak berupaya untuk berlari. Macam-macam perasaan ada, mulalah teringat anak, keluarga malah asyik bertanya pada diri, mengapalah sanggup buat kerja yang 'menyeksa' diri ini," katanya.


Bukan hanya disebabkan beberapa laluan agak sukar termasuk menempuh lima jejantas, malah pada peringkat tiga kilometer terakhir, terpaksa pula meredah hujan lebat.Melangkah dalam larian yang berbaur dengan seribu macam perasaan itu turut menyaksikan air matanya gugur dalam kegelapan sekitar dan hujan yang tidak juga reda hinggalah ke garisan penamat."Tetapi apabila berjaya menamatkan perlumbaan biarpun waktu larian melebihi enam jam, memang tak mampu saya gambarkan kepuasan saat itu," katanya yang kini menyimpan impian untuk menyertai maraton di Gold Coast, Australia.