Isnin, 23 Februari 2009

Kebaikan Senaman Kepada Jantung Anda

Ramai sedia maklum akan kebaikan senaman, tetapi mereka tetap keberatan atau jarang melakukannya. Gaya hidup yang tidak aktif merupakan salah satu faktor utama kepada penyakit jantung dan kardiovaskular. Aku bukanlah seorang doktor atau perunding kesihatan. Namun marilah sama-sama kita berkongsi maklumat dan pendapat tentang kebaikan senaman ini dari sudut kesihatan jantung.
Menurut Persatuan jantung Amerika, kekerapan orang yang kurang aktif dan tidak begitu cergas dari segi fizikal menghidap hipertensi antara 30-50 peratus lebih tinggi. Kajian juga menunjukkan bahawa senaman boleh mengurangkan tekanan darah tinggi kepada pesakit. Apabila berlaku tekanan darah tinggi, jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Seperti juga otot-otot lain, jantung juga akan menjadi lebih kuat melalui aktiviti senaman. Jantung yang kuat dapat mengepam lebih banyak darah dengan setiap denyutan. Jadi, jantung dapat bekerja pada tahap yang maksimum tanpa bebanan yang teruk.
Bagi orang yang rajin bersenam, kadar denyutan jantung mereka semasa rehat adalah lebih perlahan kerana JANTUNG MEREKA TIDAK PERLU BEKERJA KERAS untuk mengepam darah! Orang yang rajin bersenam biasanya mempunyai risiko yang rendah terhadap penyakit jantung, apatah lagi jika dia tidak merokok dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Rabu, 18 Februari 2009

Pembukaan Tirai 2009!

Bertemu lagi pada tahun 2009. Sudah lama nampaknya aku tak menulis 'post' baru lantaran kesibukan dengan berbagai tugas dan tanggungjawab. Aku mengakui ianya menyebabkan blog ini ibarat 'mati' sementara.
Kini aku berpeluang kembali dalam arena blog 'Dunialarian' untuk mencatat segala aktiviti yang aku lakukan berkaitan dengan bidang sukan yang aku ceburi sejak beberapa tahun yang lalu. Tahun 2008 telah pun berlalu. Sejak 'post' aku yang terakhir, aku telah menyertai beberapa larian yang agak besar sebelum berakhirnya 2008.
Ada larian besar yang menanti pada 2009 iaitu KL Marathon 2009 yang dijangka berlangsung pada bulan Jun. Pada bulan mac, larian Bukit Jalil akan memeriahkan suasana pagi di taman rekreasi yang mendapat sambutan orang ramai pada setiap hari.