Selasa, 20 Mei 2008

Pembuka Tirai 2008

Pada 27 April 2008 bermulalah tirai larian aku sejak sekian lama ditinggalkan.Kali terakhir aku masuk larian adalah larian 10k adidas di Sunway Lagoon pada tahun lepas. Aku dah tak ingat bilakah tarikhnya. Pada Ahad 27 April aku memulakan pertempuran dalam Power Run di Dataran Merdeka. Aku sempat solat di rumah dan bertolak ke Dataran Merdeka. Minuman aku pada pagi itu adalah air Hurix Glukosa serta 2 keping roti Gardenia. Aku baru memulakan latihan hanya satu minggu. Bila sampai di Dataran Merdeka, ingatan kembali kepada nostalgia larian pada beberapa tahun yang lalu.

Dataran Merdeka bukan saja nostalgia Kemerdekaan bagi mereka yang pernah menempatkan diri untuk mendengar laungan merdeka di Bangunan Sultan Abdul Samad puluhan tahun yang lalu, malah bagi aku dan juga pelari-pelari maraton, ia satu tempat dan suasana yang menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam kehidupan kami. Bila masuk ke dalam 'kurungan' di 'starting' point' kelihatan beberapa orang pelari dari negara Afrika turut sama memanaskan badan di saat-saat akhir sebelum bermulanya larian.Disitu aku bertemu dengan seorang rakan lama yang pertama kali melibatkan diri dalam larian. Selama setengah jam aku berada dalam 'kurungan' itu sebelum kami dilepaskan jam 7.30 pagi. Permulaan larian aku rasa baik, kelihatan pelari-pelari lain memecut sejak dari awal lagi.

Cabaran getir bermula apabila masuk ke jalan Langgak Tunku dan menuju ke arah Jalan Duta. Jalan Duta memang satu lokasi yang agak mencabar kerana jalan berbukit yang agak jauh. Aku merasa perit apabila semakin sampai ke Jalan Parlimen. Langkah makin lemah dan perlahan. Perjuangan diteruskan juga kerana penamat sudah tidak jauh dari situ. Kaki terasa sungguh berat, seumpama memikul satu beban yang berat. Akhirnya aku sampai ke penamat dengan catatan 1 jam 14 minit. Satu catatan yang boleh diterima, memandangkan baru saja 'training' dan yang pertama untuk 2008. Seorang pelari veteran (rakan baru) telah mencatatkan 48 minit. Itu sangat baik. Dia berlari dalam kategori senior. Aku pernah mencatatkan rekod itu beberapa tahun yang lalu. Badan rasa sangat letih dan aku rasa telah kehilangan banyak cecair dan tenaga. Apa lagi,ambik kesempatan la minum air Milo percuma. Aku minum 6 cawan Milo! Memang puas hati. Rasa segar kembali.

Bila pusing-pusing kat Dataran, aku ternampak kaunter jualan baju 'Torch Relay for Olympic Beijing 2008'. Bukan itu saja, sesiapa yang ada baju tersebut boleh bergambar sambil memegang obor Sukan Olimpik Beijing! Ia adalah obor sebenar. Aku terus tak fikir panjang, beli 2 helai. Satu bagi kawan pinjam. Kami terus bergambar. Wah! Rasa bangga je dapat bergambar dengan obor sukan yang dilanda kontroversi itu. Aku balik rumah dengan rasa gembira walaupun tidak dapat mencatat masa bawah 60 minit.